Kantin Sekolah Bukan Untuk Anak Kita Sorang!!!

Posted on

Bayangkan, anak sedang beratur, datang ibu tolak anak ke depan dan potong barisan. Generasi apa yang sebenarnya kita sedang cuba lahirkan? Berang aku mula melepas geram dalam group Whatsapp. Tadaaa… rupanya dua tiga rakan lain juga mengalami nasib yang sama. Mereka ini tidak ramai, tapi mereka ini ibarat kanser, jika tidak dikesan dan dirawat awal ia akan merosak sehingga mati.

Hipotesis mudah, ibu bapa beginilah yang akan menyaman guru jika anak diherdik tidak mengikut peraturan, ibu bapa begini jugalah yang memotong barisan di tol kerana ingin pulang ke rumah awal untuk mendodoi anak di dalam kain batik setiap petang. Ya, ini hipotesis paling mudah untuk menggeneralisasikan ibu bapa yang bersikap demikian.

Untuk ibu bapa yang bersikap sedemikian, bukan anak kamu sahaja perlu makan di masa rehat, bukan anak kamu sahaja yang melalui hari pertama persekolahan darjah satu. Tidakkah kamu merasa bersalah merompak masa anak-anak berusia tujuh tahun yang lain tanpa belas? Tidakkah kamu tahu ketamadunan manusia itu dimulakan dengan peradaban yang mulia, jika semut juga mampu mengikut barisan inikan kamu yang manusia dijadikan tuhan lengkap otak dan akal fikirannya. Tidakkah kamu malu jika semut itu hanya binatang serangga tetapi kamu yang manusia gagal berfikiran waras menindas murid tahun satu???

Ya, siapa tidak sayangkan anak, tetapi kita menghantar anak ke sekolah untuk berdikari bukan sebaliknya. Selepas kalian berbuat demikian, akan ada pula yang mengikut kerana tidak berpuas hati. Bayangkan murid yang ibu bapanya tidak hadir? Adakah mereka tidak sayangkan anak mereka? Sedangkan mereka telah melatih anak mereka sebaiknya kerana aku melihat sendiri seorang anak rakan yang ibu bapanya tidak hadir tetapi cool beratur membeli makan di kantin. Tapi kesiannya anak ini apabila ibu bapa yang tidak berperikemanusiaan mementingkan diri sendiri menindasnya hanya kerana ibu bapanya tidak hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *